ABE UJI IKE The Transformer

ABE UJI IKE the Transformer
Oleh Rubayat
http://rubayat68.blogspot.com/

"Awe! mari ikut Tokchek gi jupo YB sementar!" Tokchek aku yang terkenal dengan parti biru pekat melaung keras dari jendela rumahnya. Aku terkejut badak, apa hal orang tua pepagi buta ni? Aku begegas ambik kunci kereta. " Apa hal pulok Chek?". "Nak selesai hal tanah ni laa…nak suruh YB rekomen nak wat tubik geran." Katanya konfiden. Dalam perjalanan, dia mengarah aku belok kiri kanan. Sesampai di satu rumah yang besar di Kuala Krai dia menyuruh aku berhenti dan masuk ke laman. Aku mula tertanya, kenape pulak mai umah YB BN? Boleh ke YB BN selesaikan hal ehwal tanah di Kelantan ni? Tapi demi melihat Tok aku yang terkenal kerasnya, aku tak jadi bertanya. Kami terus masuk, dan aku lihat Tok aku terjengok jengok dan bertanya sesorang. "YB ado? Ambo ado hal sikit?" Aku lihat ada sesorang yang berbaju kemas tercongok di pejabat YB, melihat Tok aku dengan pandangan 'biasa' orang orang kaya terhadap orang kampung. Cuak aku menengok muka eksyennya. Tanpa melihat ke muka Tokchek aku, sambil buat buat sibuk dia menjawab, " YB tak dok, huh..ada gapa dio?" Dengan nada merendah Tok aku cuba memberitahu ceritanya. Belum habis lagi kisah yang nak dicerita, PA YB yang eksyen terus memotong, "Pangkah la PAS lagi! Sapa dia buleh tolong demo lo ni? Ambo tok leh! YB pun tok gheti...bla bla bla. Aku tengok muka Tokchek aku berubah..aku naik saspen, kang mengamuk pulak orang tua ni. Tetiba dengan suara keras dia berkata," Kalu mung tok leh tulong orang kapung, mung jadi tok wakil wat menatang hapa?? Mung mari masuk kapong aku, aku hambat mung. Mengundi lagi, kalah mung!!". Jeritnya, " Mari awe kita balik!!" Aku bergegas mengikut perintah. Dalam kereta aku terpaksa mendengar leter yang di selang seli dengan sumpah seranah sepanjang jalan.
Cuba menyejuknya aku mengajaknya pekena teh dan rokok sebatang. "Buleh!" jawabnya pendek. Selepas suasana agak kondusif, dengan nada yang rendah aku bertanya, "Pah kita nak buat gapo pulok ni?" "Tak tahu doh aku!" Jawabnya ringkas, panasnya masih ada. Sambil mencongak congak aku mendail nombor talipon kenalan, yang kebetulan Tok Pengulu di kampung kami, dan cuba berkisah padanya. Dengan nada ingin membantu dia mencadang untuk kami pegi berjumpa dengan ABE UJI IKE yang pada masa itu adalah Ahli Majlis Daerah Kuala Krai. Aku bersuara pada Tokchek, "demo kato Abe Uji Ike buleh tulong, nak gi?" Aku tahu Tokchek aku agak sangsi untuk pegi meminta tolong dari orang PAS, sedang dia terkenal dengan pekat biru gelematnya. Mungkin tersepit, beliau membalas, "Ikut mung la awe..." Berbekalkan nombor talipon yang dibagi tok pengulu Yi, aku terus mendail nombor Abe Uji. Dihujung talipon aku mendengar," Assalamualaikum…sapa nih?" Suara yang tenang dan tersusun. " Ambo ni...orang kampung Tengah, cucu PakCu Mejah....nak mintak tulong sikit ni.." Aku cuba beradab. " Cucu Pak Cu! Bila balik dari Kuala Lumpur? Waris kita ni!" Balasnya dengan lebih beradab. Aku tahu yang dia tahu Pak Cu Mejah orang biru, dan aku tahu yang dia tahu kami bukan waris! "Dah dekat zohor dah ni, molek la..mari jupo ambo di Masjid Jauhar depan Caltex. Ambo try tengok." Lega aku. Harap harap Tokchek aku nak pegi ke Masjid PAS tu! Tanpa bertanya lagi aku menghidupkan kereta dan terus membawa Tokchek ke Masjid Jauhar. Ternampak kereta Mercedes pesen lama berpletkan PAS terpacak di laman masjid. Aku tengok seseorang yang berserban, tegap badannya, dan tenang air mukanya menyambut kami. "Assalamualaikum Pak Cu! Sihat deh?" Manis raut wajahnya menyantuni Tokchek ku. "Cuti berapa hari?" Tangannya yang keras pejal dihulurkan padaku. Beliau menyonsong kami ke wakaf di tepi masjid, sambil menjemput kami duduk beliau terus bertanya," Pah, guano ambo buleh tulong?" Sambil matanya melihat pada Atok ku yang ternampak kekoknya. Tokchek mula bercerita, dari kekok menjadi lancar. Dari asing menjadi mesra. Sehabis sahaja kisah Tokchek, Abe Uji terus menjawab, " Insyaallah Pakcu, ambo tulong setakat ambo buleh." Wakaf Masjid Jauhar telah menjadi saksi bagaimana Abe Uji Ike melayani dan membantu Tokchek tanpa mengira parti dan kedudukan. Setelah diteliti dokumen dokumen, dicop dan disahkan oleh Abe Uji tanpa protokol yang membebankan orang kampung, beliau kemudiannya menyarankan kami untuk ke pejabat tanah yang berdekatan, dan bertemu dengan pegawai yang tertentu. Dengan murah hati beliau menalifon pegawai tersebut dan memberitahunya supaya membantu kami. Air muka puas terpancar pada wajah Tokchek. Ucapan terima kasih berulang ulang kali diucapkan oleh Tokchek. Abe Uji menyalami kami, meminta diri dan bergegas ke dalam masjid. Zohor hampir masuk. Sedang aku ingin terus ke pejabar tanah, tetiba Tokchek ku bersuara, "Awe...guano kalu kita sembahyang zohor di Masjid ni dulu?" Aku terkesima. "Molek...." Jawab ku. Hari itu Masjid Jauhar depan Caltex Kuala Krai menjadi saksi, aku, Tokchek ku yang birunya sudah makin cair, solat zohor berimamkan ABE UJI IKE! Takbir!! Allahuakbar!

Selamat Mengundi!!

Dare to Change


'The Fire Walker' : Berani & Bijak Berubah

Oleh Rubayat


Nak berubah? Ramai manusia nak berubah. Banyak organisasi cuba berubah. Mungkin kerana dengan perubahan ini menjadikan kita 'trendy', maka ramai dari kita berusaha dan mencuba cuba untuk berubah. Soalnya berapa persen dari kita yang betul betul dapat menguasai perubahan yang kita mahukan? Mungkin jawapnya, tak banyak persen. Persen yang kecundang dan tertiarap tengah jalan mungkin lebih banyak dari yang berjaya. Kenapa jadi lagu ni?

Ramai dari kita tak perasan sebenarnya untuk melayakkan kita menyertai pasukan perubahan ini kita mestilah mempunyai beberapa pra syarat, sebagaimana kalau nak ambik bidang kedoktoran kena lulus add math, biologi, kimia dan fizik dengan cemerlang. Kalau tak, tok sah mimpi nak jadi doktor, jadi pawang boleh la! Begitu jugak dengan hal yang satu ini, pra syaratnya juga sangat ketat, kalau tak cukup syarat maka jadilah perubahan yang kita mahukan tu 'separuh masak'!

Sebaliknya, bila kita pasti kita sudah menguasai segala pra syaratnya, maka insyaallah segala perubahan yang kita mahukan akan dapat kita kuasai dengan baik..

Teringat saya satu hari di bawah 'life-coach' yang sangat terkenal Anthony Robbins, kami dicabar untuk berjalan diatas arangbatu yang dibakar merah menyala sejauh lebih kurang 20 kaki! Untuk mengesahkan yang arangbatu itu benar benar panas beliau melayangkan sehelai kertas. Belumpun sempat kertas itu sampai kebawah, ia sudahpun terbakar hangus di udara! Tak cukup dangan itu beliau mengambil tin pepsi dari tangan seorang peserta dan mencampakkan diatas arangbatu tersebut. Tak sampai 5 minit, tin pepsi mula 'deform' dan membengkok! ( Nota: Aluminium akan cair pada suhu 700 C) Senang cerita arangbatu tu memang panas! Amacam, siapa berani? Ini bukan kes kena rasuk jin, atau pekena todi dulu baru berani. Ini kes jalan atas arangbatu yang merah menyala dalam keadaan waras dan mumayyiz! Jadi sapa berani?!Tak berani tak apa, kerana saya akan kongsikan beberapa pra syarat yang memungkinkan kita untuk berjalan atas bara api itu dengan jayanya, insyaallah! (Tapi, kalau tuan tuan buat dan terbakar kaki, saya tak bertanggung jawab!) Pra syaratnya:

  1. Visi kemenangan yang jelas. Bukan sahaja kita mesti pasti dengan matlamat tetapi ianya haruslah terang dan jelas. Anda mestilah mampu membayangkan matlamat anda dalam bentuk visual / gambar yang berwarna dan bergerak! Nak bagitau, yang visi anda bukan blur, tapi jelas, terang dan nyata. Teringat kisah Pahlawan Islam yang membuka kota Andalusia, Tariq bin Ziad. Sebelum beliau berjaya mengalahkan tentera sepanyol yang berjumlah 200,000 dengan hanya 12,000 tentera dipihak Islam, sebenarnya beliau telah tahu dengan yaqin dan jelas yang tentera Islam akan beroleh kemenangan yang gilang gemilang. Tariq telah mendapatkan firasat melalui mimpi melihat Rasulullah SAW bersama ke empat-empat Khulafa’ Al-Rasyidin berjalan di atas air lalu merapatinya, lalu Rasulullah SAW memberitahukan khabar gembira bahwa dia akan berhasil menakluk Andalusia. Kemudian Rasulullah SAW menyuruhnya untuk selalu bersama kaum muslimin dan menepati janji. Inilah visi kemenangan yang saya maksudkan! Jadi, saya mestilah berupaya untuk membayangkan yang saya terlompat lompat kegembiraan meraikan kejayaan saya merentasi bara api itu! Dan itu lah yang saya lakukan.
  2. Keputusan yang putus. Mat saleh kata 'decisive'. Kita tidak boleh teragak agak bila membuat keputusan. Jangan sekali kali meletakkan perkataan 'kalau' bersama sama keputusan anda. Contohnya, : "Saya akan berhenti merokok kalau kawan kawan saya memberi sokongan". Atau, "Kita akan meneruskan Kerajaan Perpaduan sekiranya (kalau) semua pihak ikhlas." Anda pasti boleh melihat bagaimana tambahan perkataan 'kalau' tadi telah mengurangkan kekuatan keputusan yang telah dibuat. Bayangkan sekiranya dihadapan bara api yang merah menyala itu saya pula mengatakan, "Saya akan berjalan di atas api ini kalau semua orang berbuat demikian." Alamatnya, sia sialah harapan anda untuk melihat saya menjadi 'Fire Walker'! Tetapi sekiranya saya dengan keputusan yang jazam mengatakan, " Saya akan merentasi bara api ini sekarang!" Anda boleh pasti, sekejap lagi anda akan melihat seorang manusia yang waras berjalan diatas bara api sejauh 20 kaki!
  3. Krisis adalah pemangkin. Krisis semasa kita melakukan perubahan tidak boleh dilihat sebagai masalah. Bahkan ianya harus dilihat sebagai pemangkin. Manusia dicipta menjadi lebih cepat, lebih cekap dan lebih cerdas bila berhadapan dengan krisis. Jadi ambil kelebihan ini dengan bijaksana. Mat mat saleh di barat mengkaji strategi 'Burn the Ship!' yang dijalankan oleh Tariq bin Ziad. Yang mana sesampai sahaja di pantai Gibraltar di Sepanyol, Tariq telah membakar seluruh kapal kapal tentera Islam. Seterusnya beliau berpidato kepada tentera tenteranya, “Wahai saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan kalian, ke manakah kalian akan lari?, Demi Allah, yang kalian miliki hanyalah kejujuran dan kesabaran. Ketahuilah bahwa di pulau ini kalian lebih tersepit daripada anak yatim dikalangan orang-orang hina. Musuh kalian telah menyambut dengan pasukan dan senjata mereka. Kekuatan mereka sangat besar, sementara kalian tanpa perlindungan selain pedang-pedang kalian. Seandainya pada hari-hari ini kalian masih terus lemah dan leka seperti ini, tanpa adanya perubahan yang berarti, niscaya nama baik kalian akan hilang, rasa gentar yang ada pada hati musuh akan berganti menjadi berani kepada kalian. Oleh karena itu, pertahankanlah jiwa kalian!!” Tariq telah mencipta krisis ini dengan bijaksana untuk menjadikan tentera Islam menjadi lebih komited, bertanggungjawab dan berani. Sebenarnya perkara yang sama berlaku, bilamana saya melihat makwe makwe pun berjaya merentasi bara api. Krisis itu telah mencabar kelelakian saya! Tiba tiba saya menjadi lebih komited dan berani!
  4. Kekuatan motivasi, kehendak dan tekad. Ingat satu perkara, tidak ada 'pelayaran yang nyaman' di dalam agenda perubahan. Yang pasti menanti anda adalah halangan, rintangan, dan cobaan. Jadi jangan komplen bila agenda perubahan anda diuji, sebaliknya bersedialah untuk menerima dari awal bahawasanya ujian adalah saudara kembar kepada perubahan. Yang penting, bukan memberi pelbagai alasan untuk menghalalkan kegagalan agenda perubahan anda, sebaliknya bersedia untuk bangkit, bukan sekali tapi berkali kali! Belajarlah dari diri sendiri ketika kita baru belajar bertatih. Berapa kali kita jatuh ketika itu? Berapa puluh kali, atau ratus kali? Dan tanyakan lagi berapa kali kita bangkit kembali? Siapa yang mendesak kita? Kita bangkit berkali kali tanpa jemu dan putus asa (mungkin meraung sekejap!) dengan hanya berbekalkan desakan naluri semulajadi kita. Naluri yang penuh dengan kuasa motivasi, kehendak dan tekad! Cari kembali budak yang bertatih itu!



4 pra syarat ini telah dikuasai,

20 kaki arang batu yang marak merah menyala sedia dihadapi

Hangus habis bulu betis di kaki

Tapi kalau di cabar lagi, insyaalah....kerana keyakinan sudah penuh di hati!


Selamat Berubah!

Art of War : Tok Guru Nik Aziz Vs. Nasharudin

Sebelum terlibat dalam satu satu peperangan, perlulah kita membuat penilaian secara terperinci sebagaimana yang disebutkan oleh War Master : Sun Tze, " Kenali diri anda, dan kenali musuh anda, separuh dari peperangan akan dikuasai. Kenali cuaca serta mukabumi (suasana internal & external), kemenangan akan menjadi mutlak.
Namun, Timbalan Presiden Pas yang baru diberi amanah untuk memacu perubahan rupa rupanya terlupa langsung untuk membuat apa apa assessment. Mungkin beliau menjadi sedikit naif yang beliau sebenarnya telah dijebakkan dalam satu 'peperangan', yang mungkin beliau sendiri tidak mampu menghadapinya. Harus difahami dibawah suluhan 'lampu' media yang agak luarbiasa terangnya terhadap Pas kali ini, sedikit pergerakan mampu ditafsirkan, bahkan boleh di 'propagate'kan menjadi signal signal yang akan diterjemahkan oleh rakyat seluruhnya dalam pelbagai tafsiran.
Ustas Nasa mungkin terbuai oleh kemenangan 'ulama' vs. 'bukan ulama' baru baru ini, yang saya kira kemenangan sebenar tidak berpihak pada 'ulama'. Yang mana undi untuk 'bukan ulama' (Dato Husam & Bro Mat Sabu) melebihi apa yang didapati oleh Ust Nasa, walaupun perwakilan Pas telah di 'brainwash' dengan diwawarkan ketaatan pada ulama dengan seminar jubli emas Dewan Ulama sebelumnya. Keduanya, Ust Nasa mungkin mendapat 'false signal' dari perwakilan yang kemenangannya itu memberi petanda yang idea kerajaan perpaduan (UG)itu telah di persetujui oleh para perwakilan. Sebenarnya para perwakilan telah di'kelabuasap'kan oleh statement Presiden Pas yang isu Kerajaan Perpaduan telah ditutup. Saya yakin TGHH membuat keputusan ini untuk mengelakkan gaduh besar sekaligus menyelamatkan pendokong Kerajaan Perpaduan yang bakal bertanding ketika itu. Walaubagaimanapun, ramai dari perwakilan telah merasa ditipu hidup hidup bila TGHH, Ust Nasa yang baru menang & Mustafa Ali yang baru dilantik tiba tiba menghidupkan kembali idea nak 'bernikah' dengan UMNO, dengan sedikit cubaan menipu dengan mengatakan PKR & DAP sudah pun bersetuju (Kemudian ditempelak oleh Lim Kit Siang dan Azmin Ali - serta disindir oleh Lim Guan Eng dengan mengatakan 'menipu Tuhan marah!). Hasrat 'gatal' kelompok ini sangat mudah untuk difahami oleh semua orang walau mereka cuba memberi nama nama baru yang lebih lunak, dengan syarat syarat baru yang pelbagai, yang dilihat sebagai usaha 'desperate dan haru biru' untuk memelihara ego malu untuk berkata," Ya, UG akan dihentikan. Noktah".
Adalah pelik dan ajaib untuk kita melihat Ust Nasa yang dahulunya (Setiausaha Agong semasa almarhum Ust Fadhil Noor) yang bijak dan taktikal tiba tiba kini menjadi tumpul, sembrono dan kelam kabut pencak silatnya! Malang. Lebih malang bila Ust Nasa terus terusan memilih untuk meng'amin'kan provokasi Najib yang begitu jelas dan tohor taktiknya. Dalam menunjukkan 'keterbukaan' sebagai pemimpin baru, Ust Nasa terus menunjukkan kenaifannya, yang pasti disaksikan dengan senyuman sumbing Najib! Yang pasti retak didalam Pas, serta keruntuhan kepercayaan terhadap Pas dari kaum bukan melayu terus berlaku seperti yang dimahukan oleh Najib. Dan Ust Nasa serta Mustafa Ali masih terus mahu berkata (hari ini 17 Jun) kita tidak mahu berkahwin dengan UMNO, kecuali DAP & PKR setuju, walaubagaimana pun kita rasa 'pegang pegang tangan' dengan UMNO dibolehkan tanpa persetujuan sesiapa!
Ketika mereka ini mencuba cuba dengan logika mereka, Tok Guru Nik Aziz sudah mendahului dengan rasa dan kebijaksanaan matahatinya. Rasa dan matahatinya yang selari dengan majoriti perwakilan Pas yang bersuara di muktamar, selari dengan pandangan terus dan langsung dari bloggers Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum, dan saya yakin selari dengan ahli dan pencinta gerakan Pas dan penentang kezaliman BN. Maka ketika TGNA menyanggah Ust Nasa dengan memberinya ultimatum supaya keluar dari Pas, letak jawatan Timb. Presiden Pas, dan lebih peribadi sebagai MB kelantan beliau menyatakan kekesalannya meletakkan ahli parlimen dari luar kelantan itu untuk dimenangkan oleh orang orang kelantan di Bachok, serta menyuruhnya meletakkan jawatan MP Bachok, maka sudah tiba masanya untuk Ust Nasa melihat kembali keperluannya untuk menilai, siapa dirinya,siapa yang dilawannya, apa suasana dan cuacanya, serta bagaimana bentuk mukabuni dan dimana letak dirinya?Terang tanpa perlu bersuluh, Ustas Nasa, nasihat saya..tidak malu untuk mengakui kesilapan, terutamanya kepada Tok Guru Nik Aziz! Lakukanlah sekarang.Noktah!

Husam VS Nasa : Simbol Dilema PAS

Husam VS Nasa bukan hanya berlangsung semasa muktamar, tetapi ianya adalah satu pergolakan yang boleh terus dimainkan oleh musuh musuhnya untuk beberapa lama lagi. Buat masa sekarang, tinjauan umum mendapati kaum bukan melayu pro Pakatan seperti mahukan Husam, sementara atas sebab sebab yang tertentu akhbar pro UMNO semacam memberi promosi yang percuma kepada Nasa. Sebabnya mudah, dari analisa PK Bukit Gantang 85% kaum cina dan majoriti kaum india menyokong Nizar - memberi alamat kepimpinan Nizar yang profesional, berani,terbuka & telus dimahukan oleh mereka. Imej ini adalah imej yang sinonim dengan Husam dan tidak Nasa, terutamanya imej ulama yang kemudiannya menunjukkan minat yang agak tergesa gesa untuk masuk merisik UMNO. Minat ini bukan sahaja gagal difahami oleh parti dari Pakatan, tetapi juga oleh majoriti ahli Pas termasuk Tuan Guru Nik Aziz sendiri. Mungkin 'timing' salah, atau silap strategi. Lantas terjadilah apa yang terjadi sekarang : Bukan melayu pro Pakatan suka Husam, manakala UMNO sedang menunjukkan kecenderongan kepada Nasa. Jadi apabila Nasa menang, sokongan bukan melayu akan berkurangan terhadap Pakatan, itu saja sifirnya.
Dalam Pas lain pula isunya. Ahli Pas sedang ditayangkan cerita Profesional lawan Ulama. Ulama merasakan keislaman Pas sedang dipudarkan dengan idea 'baru' golongan profesional , manakala golongan Profesional merasa semakin sahih yang yang sebahagian besar golongan ulama ini memang tidak profesional dalam menguruskan parti Islam yang sedang mendepani kepelbagaian maslahah dengan isu yang lebih komplikated & rumit. Memang benar mengurus kemenangan tidak semudah menjatuhkan hukum. Lalu hasil dari permainan media yang bertalu talu ini, ahli Pas sudah mula merasakan yang ianya adalah 'real', dan sedang mengikut rentak permainan ini. Cuba 'baca' apa yang sedang dilakukan oleh Mat Iraq : tidak lain, beliau sebenarnya masih terus mahu menari mengikut rentak media, walau sudah dijerkah oleh kesilapan.
Wahai para pemain Pas, lihatlah apa yang sedang dilakukan oleh pakar profesianal ulama USA, Mr Obama dalam menguruskan imej US dimata dunia, dimata Islam khasnya. Cuba kaji dan fahami apa yang dikatakan oleh Obama di kaherah Mesir baru baru ini. Beliau memilih Al Azhar sebagai pembuka bicara, menunjukkan kefahaman yang tinggi terhadap ketamadunan serta sumbangan Islam terhadap dunia seluruhnya. Menunjukkan imej toleran yang tinggi terhadap Islam, menunjukkan sisi yang lembut dan simpati terhadap Islam. Tidak pelik umat Islam memberikan harapan baru padanya. Dan ingat Obama adalah seorang kristian, kristian yang berjaya membuka ruang harapan pada orang Islam khasnya.
Lalu sekiranya pemain politik Pas dari golongan ulama, menunjukkan ketidakyakinan pada harapan yang sedang dihulurkan oleh kaum cina dan india dan mahu lari kelubuk melayu UMNO (walau apa yang dikata oleh Nasa akhir akhir ini) maka mereka sebenarnya telah salah meletakkan keutamaan. Keutamaan sekarang ialah menghulurkan tangan kepada mereka yang yakin dengan sistam politik Islam yang ditunjukkan oleh Pas dan bukan mereka yang terang terang menentangnya.
Seruan : Hentikan segala usaha merisik UMNO, cepat cepatlah cari jalan untuk bertunang & berkahwin dengan Pakatan. Ulamakanlah Husam & profesionalkanlah Nasa!

Selamat Hari Ibu

Masuk hari ni, dah 4 hari dah lepas Hari ibu. Anyway, Hari Ibu sebenarnya adalah setiap hari. Just nak share a thot pasal Hari Ibu ni sikit. Remember satu hadis rasulullah SAW bilamana Rasul diajukan soalan oleh sahabat tentang siapakah yang patut dimuliakan? Rasul kemudiannya menjawab, "ummu!". Lalu ditanya siapa lagi, jawab rasul, "ummu!". Lalu ditanya lagi, rasul terus menjawab, "ummu!". Kemudian barulah rasul menjawab, "abu!". Soalnya mengapa ibu diletakkan ditempat johan,naib johan dan tempat ketiga, sedang ayah pula hanya di tempat saguhati? Ada satu perkiraan yang sangat interesting yang perlu diberi perhatian bukan sahaja oleh kita para pencinta sang ibu, tetapi juga oleh para para ibu yang teringin berada di ketiga tiga tangga tersebut. Teringat kata Syeikh Rahimuddin, Ummu yang pertama sebenarnya mewakili sang ibu yang telah berkorban secara fizikalnya, yang telah melalui segala susah payah selama sembilan bulan sepuluh hari dan akhirnya melalui kegetiran dan kemuncak kesengsaraan melahirkan sang bayi kemuka dunia ini. Ummu yang kedua, mewakili sang ibu yang secara psikologinya menyumbang dan membantu kita untuk memahami serta menjalani langkah langkah kehidupan dengan betul dan teratur. Manakala Ummu ketiga mewakili sang ibu yang terus menerus mencurahkan madu emosi serta kasih sayangnya pada kita. Sang ibu yang pasti segera merasa sakit apabila kita jatuh dan rebah. Sang ibu yang perasaannya yang sama frekuensinya dengan emosi kita. Jadi, mari kita sama sama tunduk dan akur dengan pengorbanan yang dengannya terbina mutu megahnya sang ibu. I luv you....Selamat Hari Ibu Mak!! Moga Allah memeliharamu sebagaimana kau memeliharaku diwaktu kecil. Amin.

Testing

Salam. Ini merupakan siaran langsung dari Wilayah Rubayat. Kami sedang memeriksa sistem pelancaran kami. Testing, testing...